Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK/ICC)
Pengenalan kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK)
- Apakah KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif)
- Perbezaan antara KIK dan KMK (Kumpulan Meningkat Mutu Kerja)
PENGENALAN
Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap usaha-usaha memperkenalkan inovasi dan membuat penambahbaikan terhadap perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Sesuai dengan keperluan semasa dan perubahan di dalam dan luar negara, kerajaan telah mengkaji semula peranan dan kaedah yang digunakan oleh Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) dalam penyelesaian masalah organisasi yang bertujuan untuk menggalakkan budaya inovatif dan kreatif serta memberi peluang kepada anggota Perkhidmatan Awam untuk menggilap kebolehan dan meningkatkan kompetensi diri.
Oleh yang demikian, KMK telah ditukar nama kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK). Keahlian KIK adalah tidak hanya terhad di kalangan anggota kumpulan sokongan dalam satu bahagian sahaja tetapi ia meliputi semua peringkat anggota dan boleh merentasi pelbagai bahagian dalam organisasi berkenaan. Di samping menyediakan teknik-teknik untuk menyelesaikan masalah yang wujud dalam organisasi, KIK juga merangkumi kaedah untuk membolehkan ahli-ahli bertindak secara kreatif dan inovatif untuk menghasilkan sesuatu yang baru melalui kemahiran imaginasi yang membawa kepada peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
KIK merupakan mekanisme pengurusan yang berkesan untuk membina modal insan dalam Perkhidmatan Awam yang berketerampilan tinggi bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan agensi-agensi Kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatankepada rakyat. Di samping itu, KIK juga mempunyai prinsip asas yang mengiktiraf pekerja sebagai sumber paling bernilai dalam organisasi dan menyediakan forum kepada mereka untuk melibatkan diri dalam proses membuat keputusan dan seterusnya melaksanakan tindakan yang diputuskan secara berpasukan.
KONSEP KIK
Menerangkan:
DEFINISI INOVASI
Inovasi ialah kaedah mencari jalan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan yang lebih baik sama ada melalui pengubahsuaian atau penambahbaikan. Ia adalah hasil cetusan idea-idea yang kreatif dan inovatif dalam mana-mana aspek kerja yang dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti organisasi.
Idea-idea ini boleh merangkumi apa-apa perubahan dalam bentuk sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja mahupun pengenalan teknologi.
DEFINISI KREATIVITI
Kreativiti ialah kebolehan atau keupayaan untuk mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baru atau dalam bentuk baru melalui kemahiran imaginasi. Ia melibatkan:
- Keupayaan berfikir yang dapat melahirkan idea baru yang unik dan menarik
- Keupayaan berfikir secara kritikal dan membuat penilaian secara analitikal terhadap idea dan seterusnya mengemukakan cadangan penyelesaian
- Keupayaan berfikir secara praktikal yang dapat menterjemahkan idea dan teori kepada bentuk aplikasi
Prasyarat Kreativiti
Antara prasyarat yang perlu ada bagi membolehkan kreativiti wujud di kalangan pekerja sesebuah organisasi ialah:
- Mempunyai daya imiginasi yang tinggi untuk melihat sesuatu secara berlainan
- Berfikiran terbuka atau berfikir di luar kotak (think out of the box), analitikal, kritikal dan praktikal
- Melihat sesuatu perkara itu sebagai peluang yang boleh mencetuskan idea baru
- Mempunyai komitmen yang tinggi, iaitu bersabar terhadap kompleksiti dan isu-isu yang timbul serta tenang dan tabah menghadapi cabaran dengan berusaha menangani masalah dan halangan yang dihadapi
- Berupaya mengenal pasti masalah dengan mengemukakan soalan yang menjurus kepada penemuan isu dan jawapan serta jalan penyelesaian
- Menggunakan minda yang kreatif untuk menemui perspektif baru
- Bersedia menghadapi risiko dan berupaya menerima kegagalan serta belajar daripada kegagalan tersebut
- Bersedia dikritik dan mengenepikan ego serta mendapatkan nasihat daripada rakan dan mencuba ideanya
- Mempunyai motivasi dalaman, iaitu rasa gembira, berpuas hati dan menjadikan kerja sebagai cabaran untuk mencapai kejayaan
Prinsip dan Kaedah KIK
Antara prinsip dan kaedah pelaksanaan KIK ialah:
- KIK adalah sepasukan pekerja (4-10 orang) yang mewakili tempat kerja yang sama atau bersilang fungsi
- KIK bermesyuarat secara tetap untuk menyelesaikan masalah kerja atau membuat penambahbaikan ke atas standard yang sedia ada atau menghasilkan cara kerja atau sistem perkhidmatan yang baru
- Pasukan ini mengenal pasti, memilih, menganalisa dan seterusnya mencetuskan idea yang kreatif dan inovatif mengenai sesuatu isu atau perkara berkaitan dengan kerja atau organisasi
- Pasukan ini mengemukakan cadangan-cadangan kepada pihak pengurusan untuk pertimbangan dan keputusan
- KIK melaksanakan keputusan yang telah dipersetujui
- KIK membuat pemantauan dan penilaian pelaksanaan projek
- KIK mengambil tindakan membuat penyeragaman dan meluaskan pelaksanaan projek
Perbezaan KIK Dengan KMK
Antara perbezaan KIK dengan KMK ialah:
KIK
- Keahlian terbuka atau merentasi semua bahagian
- Terdiri daripada pekerja di pelbagai peringkat jawatan
- Penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti, selain daripada penyelesaian masalah
- Teknik penyelesaian masalah dipelbagaikan
- Memasukkan teknik penjanaan idea kreatif dan strategi penambahbaikan proses
KMK
- Keahlian terhad kepada anggota dalam bahagian yang sama
- Terdiri daripada anggota dalam kumpulan sokongan
- Penekanan kepada aspek penyelesaian masalah
- Teknik penyelesaian masalah terhad kepada beberapa alat kawalan kualiti tertentu sahaja
- Tiada teknik penjanaan idea kreatif dan strategi penambahbaikan proses
Falsafah KIK
Falsafah KIK adalah seperti berikut:
- Konsep pengurusan secara kemanusiaan, iaitu pengurusan yang menekankan aspek modal insan yang merupakan aset terpenting di dalam sesebuah organisasi
- Konsep pengurusan secara penyertaan, iaitu setiap pekerja tidak kira kedudukannya dalam organisasi diberi peluang untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada organisasi
- Merupakan satu mekanisme yang melibatkan pekerja dalam proses penyelesaian masalah atau penambahbaikan proses kerja dan standard yang sedia ada atau memperkenalkan sesuatu yang baru
- Menerapkan konsep knowledge-based dan creativity-driven bagi membolehkan organisasi menghasilkan inovasi yang memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan
- Memberi tumpuan kepada idea, pembelajaran, perkongsian ilmu dan penciptaan nilai menerusi strategi pengenalpastian dan penyelesaian masalah, teknik-teknik penganalisisan serta penghasilan idea-idea baru yang kreatif dan inovat
- Produk akhir KIK menjurus kepada penghasilan output berkualiti yang dapat dinikmati dengan ketara dan secara meluas. Dengan itu, impak dan sumbangan KIK terhadap pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi negara akan lebih berkesan
Objektif KIK
Objektif KIK adalah untuk menambahbaik dan meningkatkan kualiti dan produktiviti kerja khususnya dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan melalui:
I. Keupayaan mencipta cara bekerja baru atau menghasilkan inovasi
II. Kebolehan menyelesaikan masalah atau membuat penambahbaikan kerja
III. Semangat bekerja secara berpasukan
IV. Penyemaian dan penerapan nilai serta etika kerja positif
V. Penglibatan dan peningkatan komitmen terhadap kerja
VI. Dorongan kerja yang tinggi
VII. Kesedaran mengenai tanggungjawab terhadap diri sendiri, kumpulan,organisasi dan negara
VIII. Penggalakan penghasilan idea-idea yang inovatif dan kreatif
IX. Pewujudan hubungan yang harmorni di antara pihak pengurusan dan pekerja
Faedah Kepada Organisasi
Antara faedah KIK kepada organisasi adalah:
a. Memperkenalkan sistem dan cara kerja baru
b. Menjana kecemerlangan organisasi melalui pendekatan kreativiti, inovasi dan penciptaan nilai (value creation)
c. Memperbaiki sistem, proses dan cara kerja
d. Mengeratkan perhubungan di antara pekerja dengan pihak pengurusan
e. Memupuk kerjasama di kalangan warga organisasi
f. Meningkatkan daya saing organisasi
g. Membolehkan organisasi menghasilkan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan menepati kehendak pelanggan
g. Membolehkan organisasi menghasilkan satu sistem penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan menepati kehendak pelanggan